JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Bunuh Pencuci Rumah Gagal Rayuan, Kekal Dipenjara 35 Tahun

08/07/2025 07:18 PM

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 42 tahun hari ini gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 35 tahun serta 12 sebatan atas kesalahan membunuh seorang pencuci rumah warga Indonesia pada 2017.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tan Sri Nallini Pathmanathan bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan Khairul Azizi Abdul Jalil dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakiman yang dibacakan, Hakim Nallini menjelaskan bahawa pihak pendakwaan dibenarkan secara sah untuk mengemukakan keterangan psikiatri semasa membuktikan kes prima facie, dan bukan hanya sebagai keterangan balas, sekiranya ia relevan untuk membuktikan elemen kesalahan.

Beliau berkata tiada salah laksana keadilan berlaku terhadap perayu apabila pihak pendakwaan mengemukakan keterangan pakar psikiatri forensik Dr Ian Lloyd Anthony, dan menambah bahawa Khairul Azizi gagal membuktikan pembelaan tidak siuman berdasarkan imbangan kebarangkalian.

“Daripada keseluruhan keterangan, sabitan terhadap perayu adalah selamat dan beliau telah diberi peluang sepenuhnya untuk membela diri tanpa sebarang prejudis,” katanya.

Khairul Azizi, yang menguruskan inap desa milik bapanya, disabitkan bersalah dan dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Disember 2022 atas tuduhan membunuh Aidah Tursinawati, 43, di sebuah rumah di Kampung Tersusun Tasek, Ipoh, pada jam 3.25 petang, 9 Oktober 2017.

Pada Jun tahun lepas. Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan tetapi membenarkan rayuan untuk menggantikan hukuman mati kepada penjara 35 tahun dan 12 sebatan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Tengku Shahrizam Tuan Lah, Ng Siew Wee dan Mohd Arif Aizuddin Masrom.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2442831