PETALING JAYA, 8 Julai (Bernama) -- Tindakan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas Malaysia akan menyebabkan pengimport minyak sawit Washington menanggung kos tambahan itu.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia mengeksport produk berasaskan minyak sawit seperti oleokimia ke AS, selain komoditi utama lain termasuk sarung tangan getah, kayu-kayan, perabut dan koko.
Beliau berkata eksport komoditi Malaysia ke AS bernilai RM20 bilion daripada keseluruhan RM186 bilion.
“Bagi minyak sawit, secara asasnya tiada alternatif lain di AS kerana kacang soya tidak boleh diubah kepada oleokimia sepertimana produk kita.
“Kalau dia kenakan tarif 25 peratus itu ke atas kita, realitinya rakyat AS yang membayarnya," katanya kepada media selepas menghadiri sesi dialog kunjungan Jaringan Perdagangan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Johari berkata pihak Jemaah Menteri akan membincangkan isu serta perkara berkaitan tarif berkenaan pada Rabu (esok).
“Kita juga bukanlah satu-satunya negara yang dikenakan tarif itu dan perlu melakukan penyesuaian serta menanganinya dengan cekap,” katanya.
-- BERNAMA