Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 8 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan akan berada di Kuala Lumpur mulai Selasa untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.
Kementerian Luar (MFA) republik itu dalam kenyataan memaklumkan, beliau juga akan menghadiri Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN (PMC), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Campur Tiga (APT) ke-26, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-15, dan Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-32 dari 8 hingga 11 Julai.
“Menteri Balakrishnan akan bertukar pandangan dengan rakan sejawatnya mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar APT ke-26, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar EAS ke-15 dan ARF ke-32, serta membincangkan usaha memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau selain mempromosikan pertumbuhan inklusif dan mampan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Menurut MFA, AMM akan mengukuhkan komitmen menteri-menteri terhadap perpaduan dan pemusatan ASEAN serta membincangkan usaha memperkukuh integrasi dan pembinaan Komuniti ASEAN di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan geoekonomi yang semakin meningkat.
Para menteri juga akan meneruskan perbincangan mengenai usaha ASEAN memperkukuh kerjasama dalam bidang pertumbuhan baharu seperti ekonomi digital, tenaga hijau dan ketersambungan rantaian bekalan sejajar dengan tema Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia iaitu Keterangkuman dan Kemampanan.
Selain itu, mereka akan membincangkan persiapan berterusan bagi kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober 2025.
Sementara itu, ASEAN akan melibatkan rakan dialognya di PMC, iaitu Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, United Kingdom, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat, untuk menilai semula kerjasama yang sedang berjalan.
-- BERNAMA