AM

25 Inisiatif Perkukuh Perpaduan Dilaksana Mei, Jun - Aaron

08/07/2025 11:08 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Sebanyak 25 inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara sepanjang Mei dan Jun lepas bagi memperkukuh semangat perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata pelbagai program telah digerakkan di seluruh negara dengan pendekatan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat bagi memastikan semangat perpaduan terus subur dari akar umbi.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk Fiesta Uniti di Muzium Perak, Konsert Lagu Kita di Sabah, serta program galakan membaca “Dariku Untukmu” yang menyasarkan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan anjuran kementerian turut menjadi wadah memupuk persefahaman antara kaum menerusi penghayatan budaya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata program Arkib@Sekolah pula bertujuan memperkukuh jati diri generasi muda melalui penghayatan terhadap sejarah negara.

Menurut Aaron, setiap inisiatif digerakkan dengan matlamat membina asas integrasi yang kukuh bagi menjamin kesejahteraan jangka panjang masyarakat majmuk Malaysia.

 --BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2442932