AM

Pelaksanaan Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2025 Berkuat Kuasa Hari Ini

08/07/2025 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) --  Pelaksanaan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Perwakilan Kuasa kepada Jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Perbadanan) 2025 yang diwartakan semalam berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata perintah baharu itu merupakan penyatuan enam perintah sedia ada sebelum ini dan bertujuan memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta mempercepat tindakan di lapangan.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata perwakilan kuasa itu ialah langkah proaktif dalam mendepani pelbagai isu di bawah bidang kuasa JAS dan agensi berkaitan.

"Saya yakin bahawa perwakilan kuasa ini merupakan satu langkah proaktif dalam menangani pelbagai isu yang berada di bawah bidang kuasa jabatan serta agensi-agensi yang terlibat.

“Keberkesanan pendekatan ini dapat dilihat menerusi pelaksanaan dua siri Ops Hazard iaitu dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi, kita telah berjaya merampas e-sisa bernilai lebih RM66 juta,” katanya.

Antara agensi yang diberikan kuasa di bawah perintah itu termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta beberapa pihak berkuasa tempatan dan perbadanan.

Perintah berkenaan juga akan disusuli dengan penyediaan garis panduan pelaksanaan dan latihan khusus kepada setiap agensi terlibat bagi memastikan pemahaman jelas terhadap tanggungjawab serta had kuasa masing-masing.

“Perwakilan kuasa ini bukan sahaja dapat menyokong pelaksanaan tugas yang lebih pantas dan menyeluruh, tetapi juga memastikan penggunaan sumber yang lebih efektif.

“Ia merupakan langkah strategik untuk menangani cabaran semasa, sambil mengekalkan integriti dan kepercayaan terhadap sistem pengawalseliaan alam sekitar negara,” kata Wan Abdul Latiff.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2442939