JENAYAH & MAHKAMAH

JBPM Rangkul 19 Pingat Emas Pada Kejohanan Dunia Di Amerika Syarikat

09/07/2025 11:47 PM

SEPANG, 9 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya meraih 19 pingat emas pada Kejohanan World Police and Fire Games Birmingham 2025 (WPFG 2025) di Alabama, Amerika Syarikat yang berlangsung pada 30 Jun hingga 5 Julai lepas.

Pasukan itu yang diwakili 34 atlet, turut merangkul 17 pingat perak dan 10 pingat gangsa pada kejohanan berkenaan.

Acara tenpin boling menyaksikan pencapaian terbaik JBPM apabila berjaya memenangi tujuh pingat emas diikuti golf dengan enam pingat emas dan masing-masing tiga pingat emas bagi sukan dart dan bina badan.

Penyertaan sulung JBPM dalam kategori bina badan yang berjaya meraih pingat emas menjadikan pencetus semangat untuk terus memperkasakan penglibatan dalam acara-acara baharu.

Bagi pingat perak pula, sukan golf berjaya menyumbang sebanyak lapan pingat diikuti tenpin boling (enam pingat), dart (dua pingat) dan kutipan satu pingat oleh atlet push pull and bench press.

Sejumlah 10 pingat gangsa disumbangkan menerusi sukan tenpin boling (enam pingat), golf (tiga pingat) dan satu pingat daripada sukan dart.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad dalam kenyataan hari ini berkata kejayaan yang dicatat oleh kontinjen JBPM didorong oleh tahap disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan sepanjang kejohanan sekali gus melonjakkan prestasi dan pencapaian mereka dalam kesemua acara yang disertai kali ini.

“Dua tahun lagi, kejohanan ini akan diadakan di Perth, Australia, dan kini kita sudah boleh baca (nilai) keupayaan kita, insya-Allah, kita akan menghantar lebih ramai atlet bina badan untuk mewakili jabatan dan negara.

“Jadi, kepada semua peminat sukan bina badan, mulakan latihan dari sekarang supaya boleh turut serta dalam kejohanan akan datang dan lihat peluang untuk kita mencipta nama pada peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2443376