Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Pengenaan tarif timbal balik baru Amerika Syarikat (AS) mewujudkan peluang yang lebih besar untuk mengukuhkan perdagangan intra-ASEAN, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro.
Beliau menekankan memupuk daya tahan serantau dan perpaduan ASEAN berbanding kelebihan individu walaupun Filipina mungkin menghadapi tarif lebih rendah berbanding dengan beberapa negara ASEAN yang lain.
“Semua isu mengenai tarif ini memberi kita hala tuju dan hala tujunya adalah untuk mengukuhkan perdagangan intra-ASEAN.
"Saya percaya bahawa hubungan ASEAN dengan AS, bersama-sama dengan prinsip tidak membalas dendam dan menjalin kerjasama adalah penting. Kita perlu bekerjasama dan mengadakan libat urus dalam rundingan.
“Walaupun perbincangan ini mungkin dua hala, ia juga berkaitan dengan ASEAN secara keseluruhan," katanya kepada Bernama dan Free Malaysia Today di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini pada Rabu.
Presiden AS Donald Trump pada Isnin lepas mengenakan tarif baharu antara 25 peratus hingga 40 peratus ke atas 14 negara dan mengeluarkan perintah eksekutif untuk melanjutkan penggantungan tarif timbal balik sehingga 1 Ogos.
Dalam kalangan negara anggota ASEAN, beberapa negara menerima tarif lebih rendah daripada yang diumumkan pada 2 April.
Kadar Vietnam dikurangkan kepada 20 peratus daripada 46 peratus; Kemboja turun kepada 36 peratus daripada 49 peratus; Laos menyaksikan penurunan kepada 40 peratus daripada 48 peratus; dan kadar Myanmar disemak semula kepada 40 peratus daripada 44 peratus.
Sementara itu, AS memutuskan untuk mengekalkan kadar tarif Indonesia dan Thailand masing-masing pada 32 peratus dan 36 peratus, manakala Malaysia menyaksikan peningkatan kepada 25 peratus daripada 24 peratus sebelum ini.
Bagaimanapun, AS masih belum mengumumkan keputusan tarif muktamad untuk Filipina (17 peratus), Singapura (10 peratus), dan Brunei (24 peratus).
Dilaporkan bahawa Duta Besar AS ke Filipina MaryKay Carlson dipetik sebagai berkata kedua-dua negara sedang berusaha gigih untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan ketika Manila meneruskan rundingan mengenai tarif timbal balik dikenakan ke atas negara berkenaan.
AMM ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.
Mesyuarat itu berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur telah menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi termasuk Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, negara peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan pegawaI kanan Sekretariat ASEAN.
Malaysia menjadi tuan rumah AMM sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN 2025 selepas menyandang jawatan Pengerusi pada 1977, 1997. 2005 dan 2015.
-- BERNAMA