EKONOMI

Penganalisis Kekal Neutral Terhadap Sektor Sawit, Unjur Harga Purata MSM RM4,100-RM4,200 Satu Tan

11/07/2025 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengekalkan saranan "Neutral" terhadap sektor minyak sawit dengan harga sasaran minyak sawit mentah (MSM) pada RM4,100 satu tan pada 2025.

Dalam satu nota penyelidikan, bank pelaburan itu berkata harga lebih kukuh pada awal bulan, mencecah paras tertinggi RM3,953 satu tan, sebelum susut kepada RM3,912 menjelang akhir Jun, apabila pasaran mengambil kira prospek bekalan yang meluas.

Bank pelaburan itu menjangkakan harga purata MSM kekal mendatar pada RM3,990 satu tan pada Julai.

“Dengan jangkaan peningkatan pengeluaran yang membawa kepada paras stok penutup lebih tinggi, ini boleh mengurangkan daya saing harga,” katanya.

RHB Investment Bank Bhd turut mengekalkan saranan "Neutral" kerana menjangkakan bekalan minyak makan akan pulih disokong oleh permintaan yang stabil.

"Kami percaya harga MSM akan stabil pada suku ketiga 2025 sebelum naik semula pada suku keempat 2025. Anggaran harga MSM baharu kami adalah RM4,100 satu tan bagi 2025. Untuk tahun setakat ini, harga purata MSM adalah RM4,373 satu tan,” katanya.

Bank pelaburan itu menjangkakan keadaan akan berubah susulan penurunan harga rujukan MSM Malaysia bagi Julai kepada RM3,730 satu tan, sekali gus menyebabkan duti eksport bagi Julai turun kepada 8.5 peratus berbanding 9.5 peratus pada Jun.

"Langkah ini mungkin menggalakkan pengeksport mempercepat penghantaran pada Julai untuk menikmati kos yang lebih rendah,” katanya.

Sementara itu, susulan paras stok minyak sawit yang meningkat untuk bulan keempat berturut-turut kepada 2.03 juta tan pada Jun 2025, Hong Leong Investment Bank Bhd menjangkakan paras stok kekal melebihi dua juta tan pada Julai 2025.

Bank itu berkata permintaan yang berpotensi lebih kukuh dari India mungkin diimbangi oleh kenaikan bermusim dalam hasil tanaman serta ketiadaan permintaan berasaskan perayaan.

“Kami mengekalkan unjuran harga MSM pada RM4,200 satu tan bagi 2025 dan RM4,000 satu tan bagi 2026.

“Kami percaya harga MSM akan kekal lembap pada suku ketiga 2025 sebelum menjadi lebih positif pada suku keempat 2025,” katanya sambil turut mengekalkan saranan "Neutral" terhadap sektor tersebut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2444084