Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan lebih rendah minggu depan, dipengaruhi oleh penyusutan berterusan dalam pasaran minyak kacang soya dan minyak mentah.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata trend penurunan harga minyak kacang soya dan minyak mentah baru-baru ini dijangka mengehadkan peningkatan dalam pasaran MSM berikutan pasaran luar banyak mempengaruhi sentimen minyak sawit.
“Minyak kacang soya dan minyak sawit bersaing dalam pasaran minyak sayuran global. Oleh itu, apabila harga minyak kacang soya menurun, pembeli mungkin beralih kepadanya, mengurangkan permintaan terhadap minyak sawit.
“Kami menjangkakan harga diniagakan antara RM4,050 hingga RM4,200 satu tan minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Pada asas mingguan, kontrak Julai 2025 meningkat RM75 kepada RM4,070 satu tan manakala Ogos 2025 naik RM91 kepada RM4,144 satu tan.
Kontrak September 2025 meningkat RM112 kepada RM4,174 satu tan, Oktober 2025 naik RM113 kepada RM4,177 satu tan, November 2025 menambah RM109 kepada RM4,174 satu tan, dan Disember 2025 naik RM103 kepada RM4,175 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 435,464 lot daripada 253,182 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 231,427 kontrak daripada 226,243 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan menokok RM110 kepada RM4,160 satu tan.
-- BERNAMA