JENAYAH & MAHKAMAH

194 Saman Dikeluarkan Dalam Op Samseng Jalanan Di Bandaraya Kuantan

14/07/2025 10:26 AM

KUANTAN,14 Julai (Bernama) -- Polis mengeluarkan 194 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 24 motosikal dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar bandar raya di sini bermula 4 petang hingga 11 malam, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata operasi itu dijalankan, susulan aduan awam mengenai kegiatan lumba haram dan aksi motosikal berbahaya, yang sering berlaku setiap hujung minggu di sekitar bandar itu. 

“Saman itu dikeluarkan kepada 65 orang berumur diantara 15 hingga 25 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada operasi sama, Mohd Adli berkata pihaknya juga turut menahan seorang lelaki berusia 18 tahun kerana menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi berbahaya wheelie di jalan awam.

“Tindakan ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Penunggang tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan menunggang secara berbahaya ialah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 atau penggantungan lesen memandu.

“Orang ramai, khususnya golongan belia, dinasihatkan agar tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat perlumbaan atau aksi berbahaya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2444952