JASIN, 14 Julai (Bernama) – Seorang penduduk terkejut apabila menemukan sebutir objek yang dipercayai bom lama ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di kebun kelapa sawit miliknya di Felda Bukit Senggeh, Nyalas, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Mohamad Rusli Mat, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan tersebut pada pukul 1.47 tengah hari sebelum sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom dari Cawangan Persenjataan, Bahagian Logistik dan Teknologi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan merupakan bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) dengan anggaran berat sekitar 227 kilogram.
“Pasukan pemusnah bom akan melaksanakan kerja-kerja pemusnahan secara terkawal esok mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan tersebut yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta mengganggu ketenteraman masyarakat setempat.
-- BERNAMA