DUNIA

KDNK Suku Kedua 2025 Singapura Berkembang 4.3 Peratus - Anggaran Awal MTI

14/07/2025 02:16 PM

SINGAPURA, 14 Julai (Bernama) -- Ekonomi Singapura berkembang 4.3 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, meneruskan pertumbuhan 4.1 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.

Menurut anggaran awal Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) yang dikeluarkan hari ini, ekonomi republik itu berkembang 1.4 peratus suku ke suku berasaskan pelarasan bermusim, pemulihan daripada penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama 2025.

“Secara keseluruhannya, bagi separuh pertama 2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan purata 4.2 peratus tahun ke tahun.

“Melihat ke hadapan, ketidaktentuan yang ketara dan risiko penurunan masih wujud dalam ekonomi global pada separuh kedua 2025, ekoran kekurangan kejelasan mengenai dasar tarif Amerika Syarikat,” tambah MTI dalam kenyataan pada Isnin.

Unjuran bagi KDNK suku kedua 2025 adalah berdasarkan data daripada dua bulan pertama suku tersebut dan tertakluk kepada semakan apabila data yang lebih menyeluruh tersedia.

Mengenai prestasi sektor, MTI memaklumkan sektor pembuatan berkembang 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, melepasi pertumbuhan 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

“Pertumbuhan didorong oleh pengembangan output dalam semua kluster, kecuali kluster kimia dan kluster pembuatan am,” tambahnya.

Sektor pembinaan berkembang 4.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, sedikit rendah daripada pertumbuhan 5.1 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh peningkatan output pembinaan sektor awam.

Bagi sektor perkhidmatan, sektor perdagangan borong dan runcit serta sektor pengangkutan dan penyimpanan berkembang secara kolektif sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, melanjutkan pertumbuhan 4.6 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Menurut MTI semua sektor dalam kumpulan itu berkembang sepanjang suku tersebut

Pertumbuhan sektor pengangkutan dan penyimpanan terutama dipacu oleh segmen pengangkutan air, manakala segmen jentera, peralatan dan bekalan menerajui dalam sektor perdagangan borong.

“Segmen-segmen ini sebahagiannya dipacu oleh aktiviti penghantaran dan logistik di rantau ini menjelang tamatnya tempoh penangguhan 90 hari tarif Amerika Syarikat,” tambah kementerian itu.

Sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans, serta perkhidmatan profesional berkembang 3.8 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, berbanding pertumbuhan 3.7 peratus pada suku sebelumnya.

Sementara itu, sektor penginapan dan perkhidmatan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, serta sektor perkhidmatan lain berkembang sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, meningkat daripada 2.3 peratus pada suku sebelumnya.

“Semua sektor dalam kumpulan ini mencatatkan pertumbuhan sepanjang suku tersebut. Pertumbuhan dalam sektor penginapan khususnya disokong oleh peningkatan kedatangan pengunjung antarabangsa secara tahun ke tahun,” jelas MTI.

MTI akan mengeluarkan unjuran awal KDNK bagi suku kedua 2025 -- termasuk prestasi mengikut sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan dan produktiviti -- dalam Tinjauan Ekonomi Singapura pada Ogos.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2445049