KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- CIMB Investment Bank Bhd menjangkakan pertumbuhan Malaysia yang sederhana kepada 4.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y), selaras dengan kenaikan tarif dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang lebih perlahan, menunjukkan potensi kelembapan pada suku kedua 2025 (S2 2025).
Dalam nota penyelidikan, bank pelaburan itu berkata unjuran asasnya mengandaikan tarif semasa sebanyak 10 peratus ke atas eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) akan kekal sehingga akhir 2025.
Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan tarif AS sebanyak 25 peratus, berkuat kuasa pada 1 Ogos, bergantung kepada hasil rundingan perdagangan AS-Malaysia yang sedang berjalan.
“Sekiranya kadar 25 peratus dilaksanakan, kami menjangkakan lonjakan sementara dalam aktiviti eksport memandangkan pengeksport dengan segera mahu mengatasi tarikh akhir tarif,” katanya.
Sehubungan itu, aktiviti perdagangan selepas Ogos 2025 dijangka menjadi perlahan, menyebabkan persekitaran luaran yang lebih lemah, kata CIMB Investment Bank.
Dan kesannya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mungkin susut di bawah unjuran garis dasar 4.3 peratus, dengan risiko penurunan berpunca daripada momentum eksport yang lemah dan potensi kesan limpahan ke dalam pelaburan domestik dan sentimen perniagaan.
Pada 9 Julai, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan yang berpanjangan dan prospek ekonomi yang semakin perlahan, sambil menegaskan bahawa sebarang pelarasan selanjutnya akan berpandukan kepada data-data yang diterima, katanya.
CIMB Investment Bank juga berkata dengan prestasi Mei yang lebih lemah, pertumbuhan gabungan IPP untuk April-Mei perlahan kepada 1.5 peratus tahun ke tahun, menunjukkan penyusutan berbanding pertumbuhan 2.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2025, yang menunjukkan kehilangan momentum dalam aktiviti perindustrian.
“Bagaimanapun, eksport pembuatan yang meningkat dijangka berterusan sehingga awal suku ketiga 2025, didorong oleh lanjutan tarikh akhir tarif AS kepada 1 Ogos daripada 9 Julai, akan membantu mengurangkan kesan penurunan output perlombongan,” katanya.
Pengumuman data indeks perdagangan pengedaran untuk Mei pada 14 Julai akan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai aktiviti ekonomi suku kedua 2025 menjelang anggaran awal KDNK.
Jabatan Perangkaan Malaysia dijadualkan mengumumkan anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2025 pada 18 Julai.
-- BERNAMA