JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Selesai Enam Kes Ragut Dalam Tempoh 24 Jam Di Kota Bharu

15/07/2025 09:45 AM

KOTA BHARU, 15 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes ragut di kawasan tempat letak kenderaan Lotus Lembah Sireh di sini, dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata pada 13 Julai sekitar 7.28 petang, mangsa iaitu seorang wanita tempatan sedang berjalan kaki sebelum beg tangannya diragut oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Ego Gear berwarna merah.

Akibat kejadian berkenaan, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM220 dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Bertindak atas maklumat, pada semalam lebih kurang 9 pagi, Ketua Polis Balai bersama-sama anggota polis Kota Bharu telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan di daerah ini.

“Pihak polis turut membuat rampasan empat barang berkaitan kes ini iaitu sebuah motosikal Yamaha Ego Gear merah, sehelai kemeja-T kelabu jenama PDI dan sehelai seluar panjang hitam bertulisan ‘INDM’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat lanjut mendapati suspek turut terlibat dengan lima laporan polis lain berkaitan kes samun ragut di daerah Kota Bharu.

Mohd Rosdi berkata ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif dadah dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu hari ini, untuk permohonan reman dan siasatan lanjut masih diteruskan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2445318