RAWANG, 15 Julai (Bernama) -- Sejumlah 87 pemain dari 14 negara akan berentap pada Kejohanan Golf ASEAN-Wanita Amatur Terbuka Malaysia 2025 berlangsung pada 28 hingga 31 Julai ini, sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.
Presiden Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) Tunku Puteri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja’afar berkata penyertaan itu membabitkan negara anggota ASEAN seperti Brunei, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia selaku tuan rumah.
"Turut serta negara bukan ASEAN seperti China, Taiwan, Hong Kong, India, Pakistan dan Korea Selatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kejohanan tahunan yang diadakan di Templer Park Country Club (TPCC) itu diberi dimensi baharu dengan matlamat strategik memperkasakan pembangunan bakat golf dalam kalangan negara-negara ASEAN, di samping memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa.
"Ia juga bertujuan meningkatkan prestasi pemain golf di seluruh ASEAN, memberikan pendedahan antarabangsa yang tidak ternilai kepada atlet muda.
“Selain itu, bagi mempromosikan pelancongan sukan di Malaysia dan rantau yang lebih luas selain memupuk perpaduan dan pertukaran budaya melalui persaingan sihat," katanya.
Atlet Malaysia yang akan bersaing termasuk Wang Xin Yao, Pang Hee Jie dan Foong Zi Xuan.
Empat trofi menjadi rebutan pada kejohanan kali ini iaitu Trofi Tunku Ampuan Negeri Sembilan (kategori terbuka), trofi Tunku Tun Maimunah (kategori mid-amatur), Trofi Maria Musa (kategori senior), Trofi Mary Williams (kategori berpasukan).
-- BERNAMA