AM

Wanita Hadapi Masalah Rumah Tangga Disaran Guna Saluran Betul - Nancy

15/07/2025 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Wanita yang mengalami tekanan hidup atau menghadapi masalah rumah tangga disarankan menggunakan saluran yang betul bagi mendapatkan bantuan dan sokongan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata kementerian itu menyediakan pelbagai platform bantuan termasuk Talian Kasih 15999 yang berfungsi sebagai ruang untuk meluahkan perasaan, sekali gus membantu menyalurkan mereka kepada bantuan dan intervensi yang sesuai.

“Kita mahu mereka berhubung dengan kita agar dapat diberikan nasihat dan panduan ke mana perlu mereka pergi. Kadangkala mereka tidak tahu saluran yang betul dan terjerumus ke tempat yang salah.

“Jika ada kemurungan dan sebagainya, mereka boleh hubungi talian 15999, mencurah perasaan dan daripada situ mereka akan diberi panduan. Ini adalah langkah dan platform yang betul,” katanya selepas pelancaran Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2025 di sini hari ini.

Nancy berkata demikian bagi mengulas kontroversi membabitkan program motivasi rumah tangga dikendalikan sepasang suami isteri yang didakwa mengandungi unsur jelik dan fahaman meragukan.

Beliau turut menyarankan wanita yang menghadapi isu seperti keganasan rumah tangga untuk mendapatkan bantuan melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di bawah kementerian itu, yang menyediakan bimbingan dan kaunseling daripada pakar.

PSSS adalah inisiatif kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang bertujuan memberi bantuan segera kepada golongan memerlukan khususnya dalam menangani isu-isu psikososial dalam masyarakat.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2445671