EKONOMI

SPRM Serbu Subsidiari NationGate Atas Dakwaan Penyeludupan Logam

15/07/2025 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu premis subsidiari milik penuh NationGate Holdings Bhd, NationGate Solution (M) Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada penyiasatan ke atas dakwaan penyeludupan logam sekerap.

"Pihak lembaga melihat dakwaan-dakwaan ini secara serius serta telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan SPRM mendapat kerjasama penuh dan untuk melindungi integriti penyiasatan.

"Syarikat kami tetap teguh dalam komitmennya terhadap piawaian tertinggi tadbir urus korporat, akauntabiliti dan ketelusan," kata NationGate melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, sambil menambah bahawa serbuan itu berlaku pada Isnin.

Ia memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa mereka akan berusaha untuk memastikan operasi perniagaan tidak terjejas dan langkah-langkah interim yang sesuai telah disediakan.

Lembaga Pengarah akan membuat pengumuman lanjut mengenai perkembangan material yang mematuhi keperluan penyenaraian Bursa Malaysia Securities Bhd dan seperti yang dikehendaki oleh undang -undang. 

Pada waktu rehat tengah hari, harga saham NationalGate telah meningkat sebanyak lapan sen kepada RM1.69, dengan 27.12 juta saham didagangkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2445437