EKONOMI

MITI Belum Temui Bukti Penyeludupan Cip - Tengku Zafrul

15/07/2025 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak menemui sebarang bukti insiden berkaitan penyeludupan cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi, kata Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata kementerian telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penggiat industri untuk menyiasat perkara itu.

"Setakat ini, kami tidak menemui sebarang bukti. Kami telah bercakap dengan Amerika Syarikat (AS) dan pemain besar untuk bekerjasama dan bekerjasama dengan kami. Jika ada bukti, kami pasti akan mengambil tindakan. Siasatan masih berjalan," katanya pada sidang media mengenai Kad Laporan Prestasi MITI Suku Kedua 2025.

Tengku Zafrul berkata permintaan untuk cip AI di Malaysia adalah tinggi disebabkan industri pusat datanya yang semakin berkembang.

"Saya berpendapat Malaysia telah menjadi perhatian apabila mula menjadi pemain dominan dalam industri berkenaan dan ia telah menimbulkan ‘red flags’ (timbul tanda amaran/isyarat bahaya) ," katanya.

Pada Isnin lepas, MITI mengeluarkan arahan baharu dengan mengenakan kawalan serta-merta ke atas eksport, pemindahan dan transit cip AI berprestasi tinggi dari AS di Malaysia di bawah Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010) dikenali sebagai peruntukan “Catch-All Control”.

Tengku Zafrul menekankan bahawa kerajaan komited terhadap persekitaran perdagangan yang telus dan sah untuk semua rakan kongsi dan pelabur.

"Kami mahu memastikan terdapat perdagangan bertanggungjawab dan sedang menyemak penyenaraian cip AI di bawah Senarai Item Strategik (SIL).

"Kami juga mahu memastikan bahawa kami mematuhi piawaian dan kewajipan antarabangsa, ia untuk mengelakkan sekatan sekunder demi industri dan ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2445455