JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Tahan Dua Bot Nelayan Tempatan, Tujuh Kru Warga Indonesia

15/10/2025 12:52 PM

MERSING, 15 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan tempatan dan tujuh kru warga Indonesia kerana melanggar syarat sah lesen di perairan Pulau Tinggi di sini semalam. 

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata kedua-dua bot nelayan tempatan kelas C itu ditahan dalam operasi bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), iaitu OP MARDOF, pada kedudukan sembilan batu nautika timur Pulau Tinggi kira-kira pukul 1 pagi, 14 Okt.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan dengan melanggar syarat sah lesen, iaitu menunda kurang 12 batu nautika dari pulau. 

"Tujuh daripada sembilan kru daripada dua bot terbabit terdiri warga Indonesia berusia lingkungan 24 hingga 50 tahun, termasuk tekong. 

"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen. Susulan itu, bot serta kru ditahan sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia Teluk Gading untuk diserahkan kepada kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut, " katanya dalam kenyataan hari ini. 

Suhaizan berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang didapati melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia. 

"Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor melalui talian 07-219 9404 atau talian kecemasan 999 bagi sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut untuk tindakan segera, " katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2479012