IPOH, 18 Okt (Bernama) -- Pendaki Mustaqqeem Mansoor yang ditemukan maut selepas melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang dekat Tanjong Malim baru-baru ini, meninggal dunia akibat hipotermia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim DSP Suhaimi Muhamad berkata perkara itu disahkan menerusi bedah siasat di Unit Forensik Hospital Slim River semalam, selepas isteri dan adik mangsa membuat pengecaman pada 5.35 petang.
“Hasil bedah siasat oleh pakar patologi forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian disebabkan hipotermia (kesejukan melampau).
“Jenazah telah dituntut ahli keluarga dan dibawa ke kampung halaman untuk dikebumikan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Suhaimi juga mengesahkan polis telah menerima laporan kehilangan Mustaqqeem, 34, semasa mengikuti ekspedisi mendaki Trans Slim pada 10 Okt bersama-sama 10 rakan dari Bukit Fraser, Pahang ke Gunung Liang.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan pada 16 Okt oleh 43 anggota pelbagai agensi sebelum mangsa ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat pada 3.30 petang hari sama.
Jenazah mangsa dibawa keluar dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 oleh Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada 2.45 petang semalam.
-- BERNAMA