HAMILTON (Kanada), 18 Okt (Bernama-Anadolu) -- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat sebulat suara meluluskan draf resolusi untuk melanjutkan sistem sekatan ke atas Haiti selama setahun lagi, termasuk pembekuan aset yang disasarkan, larangan perjalanan dan sekatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Resolusi itu dikemukakan bersama oleh Panama dan Amerika Syarikat (AS) serta mendapat sokongan semua 15 anggota majlis berkenaan.
Haiti telah lama bergelut dengan keganasan kumpulan bersenjata dan ketidakstabilan politik.
Negara itu menyaksikan peningkatan keganasan selepas pembunuhan Presiden Jovenel Moise hampir lima tahun lalu.
Awal tahun ini, kumpulan bersenjata telah menguasai Port-au-Prince, menyebabkan Perdana Menteri Ariel Henry meletak jawatan. Kini, kumpulan bersenjata dikatakan menguasai kira-kira 80 peratus kawasan ibu negara itu.
Menurut PBB, lebih 1,379 orang terbunuh atau cedera di Haiti manakala 428 lagi diculik dari April hingga Jun.
Kira-kira 5.5 juta penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan segera dalam krisis kompleks yang diperburuk oleh rusuhan awam, wabak penyakit, ketidakstabilan ekonomi dan isu keselamatan.
Bercakap selepas undian itu, timbalan utusan AS ke PBB Jennifer Locetta memberitahu majlis bahawa sekatan itu merupakan komponen penting dalam usaha antarabangsa yang lebih luas untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan di Haiti — serta di seluruh rantau ini.
“Beberapa minggu lalu, majlis ini telah meluluskan resolusi bagi penubuhan “Gang Suppression Force” dan Pejabat Sokongan PBB.
"Langkah-langkah ini akan memulihkan keselamatan di Haiti dan melemahkan kumpulan yang bermaharajalela,” katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU