AM

CUEPACS Kemuka Tiga Opsyen Penambahbaikan Skim Pembantu Tadbir Kepada JPA

18/10/2025 02:41 PM

IPOH, 18 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengemukakan tiga opsyen kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan skim Pembantu Tadbir Operasi dan Kewangan N1 ditambah baik serta seiring kelayakan semasa penjawat awam berkenaan.

Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat berkata opsyen pertama ialah menjumudkan skim Pembantu Tadbir sedia ada dan menyelaraskannya terus di bawah gred N5, sebagaimana pelarasan beberapa skim lain yang telah dilaksanakan menerusi semakan terdahulu.

“Ramai dalam kalangan pembantu tadbir kini memiliki kelayakan lebih tinggi seperti diploma, ijazah bahkan ada berkelulusan sarjana dan doktor falsafah (PhD), namun masih berada pada gred asas N1 iaitu gaji setara kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dengan penyelarasan ini, skim mereka akan seiring dengan tanggungjawab sebenar yang kini jauh melangkaui skop tugas asal,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Fun Run di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A Sivanesan serta Presiden AUEGCAS Kebangsaan Hazani Hamzah.

Adnan berkata untuk opsyen kedua ialah penambahbaikan boleh dibuat melalui kenaikan secara sekali sahaja atau one-off ke gred N5 bagi mereka yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi, selaras pendekatan Pekeliling Perkhidmatan Bil 1 Tahun 2016.

“Opsyen ketiga pula memberi laluan kenaikan gred secara automatik kepada N5 selepas penjawat dalam skim ini berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam N1, sebelum waran gred berkenaan kembali ke asal selepas persaraan,” katanya.

Beliau berkata semua opsyen yang dikemukakan tidak memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan memandangkan struktur asas gaji adalah hampir sama, kecuali pelarasan kecil pada kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT).

Selain itu, Adnan berkata kira-kira 320,000 penjawat awam berada dalam skim berkenaan dan mereka merupakan tulang belakang pentadbiran di kementerian, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi kerajaan di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480361