SUKAN

MAKSAK Games Cerminkan Komitmen Lahir Penjawat Awam Cergas, Sihat Dan Produktif

23/10/2025 11:13 PM

SHAH ALAM, 23 Okt (Bernama) -- Penganjuran Kejohanan Futsal Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) atau dikenali MAKSAK Games 2025 menzahirkan komitmen kerajaan melahirkan anggota perkhidmatan awam yang cergas, sihat dan produktif.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata dalam mendepani era maklumat dan tuntutan kerja serba pantas ketika ini, perkhidmatan awam memerlukan anggota pentadbiran yang cergas secara fizikal.

"Seorang pegawai yang cergas secara fizikal akan menjadi cergas secara mental, dan fikiran jadi lebih jernih untuk membuat keputusan tepat dan bertindak dengan lebih berkesan," katanya.

Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin yang juga Yang Dipertua MAKSAK Selangor berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Futsal MAKSAK Games 2025 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata budaya kerja dalam perkhidmatan awam perlu berteraskan keseronokan bekerja, suasana kerja harmoni sebelum disokong aktiviti riadah, kebajikan serta sosial.

Ahmad Fadzli berkata perkara itu selaras dengan Garis Panduan Pembudayaan Keseronokan Bekerja Sektor Awam yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Saya melihat MAKSAK sebagai wadah untuk kita berinteraksi, berkenalan dan membina jaringan  melangkaui sempadan jabatan dan negeri termasuk platform untuk kita menyemai semangat kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan penjawat awam.

"Dalam dunia semakin mencabar ini, kesihatan fizikal dan mental adalah aset utama. Inilah antara matlamat utama kita menyokong aktiviti kesukanan dalam kalangan penjawat awam serta membina tenaga kerja yang sihat, bertenaga dan berdaya saing," katanya.

Sebanyak 550 atlet dan pegawai dari 17 badan gabungan MAKSAK berentap dalam Kejohanan Futsal MAKSAK Games 2025 Peringkat Kebangsaan bermula hari ini.

Kejohanan selama empat hari itu berlangsung di arena Sportiza Batu 3, Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan (KOMBES) dan Kompleks Rakan Muda, Puchong.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482252