KANGAR, 18 Okt (Bernama) -- Program Jambori Di Udara (JOTA) dan Jambori di Internet (JOTI) 2025 di Perlis bukan sahaja membuka peluang kepada ahli pengakap meningkatkan kemahiran komunikasi digital, malah memperkasa kesedaran terhadap keselamatan siber menerusi Kempen Internet Selamat.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perlis Huzaimah Muain berkata program yang berlangsung serentak di seluruh negara itu adalah kolaborasi pertama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perlis dengan Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis.
“Kolaborasi strategik ini memberi impak besar kerana selain memupuk kemahiran komunikasi digital, peserta turut diberi pendedahan mengenai penggunaan internet secara beretika dan berintegriti.
“Kita mahu peserta bukan sahaja celik digital, tetapi sedar tentang bahaya salah laku siber seperti buli dan eksploitasi seksual dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program sehari itu di Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Syed Alwi di sini, hari ini.
Program anjuran Pengakap Perlis Barat dan Pengakap Perlis Utara itu turut diadakan di satu lagi stesen di Sekolah Kebangsaan Felda Chuping, membabitkan seramai 649 peserta termasuk guru dan murid Tahap Dua dari 18 sekolah di seluruh negeri.
Mengulas lanjut, Huzaimah berkata antara pengisian menarik disediakan ialah komunikasi radio HF, kod Morse, komunikasi video selain pendedahan berkaitan isu buli siber, maklumat palsu, jejak digital serta had umur penggunaan media sosial yang disampaikan secara interaktif bagi menarik minat peserta.
“Pendekatan ini membolehkan peserta belajar melalui pengalaman, pengetahuan dan kemahiran secara langsung. Malah ada yang berjaya berkomunikasi dengan stesen di luar negeri termasuk di Sabah,” katanya.
Menurutnya JOTA-JOTI yang diadakan setiap tahun pada minggu ketiga Oktober menjadi platform penting untuk membina kemahiran komunikasi global dalam kalangan ahli pengakap, selain menerapkan nilai kerjasama dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu.
Huzaimah berharap kerjasama strategik antara Pengakap Perlis dan MCMC dapat diteruskan menerusi program lain seperti perkemahan ujian lencana, sekali gus memperluas pelaksanaan kempen Internet Selamat kepada lebih ramai pelajar di negeri ini.
-- BERNAMA