KAHERAH, 19 Okt (Bernama-Xinhua) -- Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu berbincang melalui telefon mengenai usaha membantu pembinaan semula Gaza serta perkembangan isu Palestin susulan gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang sedang berlangsung, lapor Xinhua.
Dalam perbualan itu, Sisi memaklumkan hasil Sidang Kemuncak Sharm el-Sheikh baru-baru ini dan penyelarasan berterusan Mesir dengan pihak perantara bagi melaksanakan fasa pertama pelan gencatan senjata untuk menamatkan perang di Gaza, menurut kenyataan Pejabat Presiden Mesir.
Presiden Mesir itu menekankan keselarasan pandangan antara Mesir dan Malaysia mengenai keperluan memanfaatkan perkembangan semasa bagi memulakan “landasan politik serius yang membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin merdeka” selaras dengan rujukan antarabangsa yang berkaitan.
Sisi turut mengesahkan hasrat Mesir untuk menganjurkan persidangan antarabangsa bagi pemulihan awal dan pembinaan semula Gaza, sambil menyatakan harapan agar penyelarasan dan kerjasama dengan Malaysia dapat diteruskan dalam hal ini, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Anwar menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyertai usaha pembinaan semula dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Gaza “dengan penyelarasan penuh bersama Mesir.”
Perdana Menteri Malaysia juga menegaskan “sokongan penuh Malaysia terhadap usaha Mesir yang bertujuan menamatkan peperangan,” menurut kenyataan itu.
Perjanjian gencatan senjata di Gaza mula berkuat kuasa pada 10 Okt selepas dua tahun perang antara Israel dan Hamas.
Kempen ketenteraan Israel sejak 7 Okt 2023 telah meragut 68,116 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan 170,200 lagi, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa, seramai 27 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh manakala 143 lagi cedera sejak 11 Okt, menurut kemas kini pihak berkuasa pada Sabtu.
-- BERNAMA-XINHUA