GAYA HIDUP

Christy Ng Meriahkan Perayaan Malaysia, Tonjol Perpaduan Dalam Kandungan Video Lucu

19/10/2025 11:40 AM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 19  Okt (Bernama) -- Dengan gaya bersahaja dan jenaka yang “masuk air”, usahawan dan pereka beg tempatan ini sering menarik perhatian netizen menerusi kandungan media sosial yang tidak hanya menghiburkan, malah menyentuh perasaan. 

Lebih menarik, video dihasilkan Christy Ng dan pasukan kreatif terdiri daripada pelbagai kaum berlatarkan keharmonian di tempat kerja itu mengambil inspirasi daripada kehidupan harian dan momen nostalgia rakyat Malaysia termasuk ketika musim perayaan.

"Ketika buat video kita hanya buat apa saja apa yang kita suka. Memang kita suka buat content yang gila-gila, Itu memang hobi kita.

“Tapi, kita sangat gembira bila dapat tahu rakyat Malaysia rasa kandungan kita bersifat unity dan berjiwa Malaysia," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada pelancaran koleksi terbaharu, kolaborasi dengan jenama snek tempatan Mamee Monster. 

Video beliau yang mendapat perhatian ramai termasuk bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan serta perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Deepavali baru-baru ini. 

pic-2

"Dalam video bersempena Deepavali itu, kami selitkan parodi filem Hindi Kabhi Khushi Kabhie Gham yang sepatutnya jadi babak menyentuh hati, tapi bila kami buat jadi lain...harap ia boleh menghiburkan rakyat Malaysia terutama yang menyambut perayaan ini," katanya, menambah penggambaran mengambil masa sekitar tiga jam. 

Selain itu, video memaparkan mereka menyediakan kemudahan seperti ubah suai surau di pejabat untuk pekerja beragama Islam dan stok makanan di pantri bernilai RM40,000 turut mendapat pujian netizen yang menyifatkan aspek itu wajar dicontohi majikan lain di negara ini.

Anak kelahiran Kluang, Johor itu juga menegaskan kandungan dihasilkan bukan sekadar bertujuan pemasaran semata-mata tetapi juga kerana beliau mahu berkongsi contoh positif dan nilai moral yang baik dengan masyarakat.

pic-3

“Tujuan utama kami buat kandungan ini adalah supaya lebih dekat dengan hati pelanggan, rakyat Malaysia dan penyokong kami, serta untuk menghiburkan anda semua, dan paling penting, menghiburkan diri sendiri,” katanya berseloroh.

Kandungan dicipta jenama tersebut juga mencetuskan fenomena tersendiri apabila pekerja tetap yang mempunyai tugas hakiki di perusahaan itu kini muncul sebagai "bintang”media sosial.

Kumpulan yang mendapat julukan The Bengap Brothers terdiri daripada lima jejaka, iaitu Mohd Najib Md Nor, Muhammad Hafizuddin Rusdi, Muhammad Farid Mat Radzi, Muhammad Nasruddin Mat Lazim dan Muhammad Hanif Mohd Din itu tidak menyangka penampilan mereka sebagai “pelakon utama” diterima baik oleh warga maya.

pic-4

"Kami tidak pernah berlakon pun sebelum ini, asalnya buat atas permintaan bos, dan dalam konten ini pun kami cuma jadi diri sendiri... tak sangka pula orang suka," kata Muhammad Hanif.

Menurutnya, inspirasi untuk menghasilkan kandungan biasanya dibincangkan secara spontan tanpa skrip yang ketat atau perancangan terlalu formal.

Imej yang dibawa oleh jenama ini turut menarik perhatian pelbagai pihak untuk berkolaborasi, termasuk jenama snek ikonik tempatan Mamee Monster yang menghasilkan beberapa beg tangan dalam koleksi edisi khas tersebut.

pic-5

Ketua Pegawai Pemasaran Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd How Yuan Yi  berkata kolaborasi tersebut diharap dapat menghidupkan semula nostalgia masyarakat Malaysia merentasi pelbagai generasi dalam cara yang lebih kreatif, moden dan segar. 

“Saya berpendapat snek keluaran kami ini sentiasa menyatukan masyarakat. Ketika kita kecil, kita makan sebagai snek, dan orang dewasa pula makan bagi meredakan ketegangan sambil berkongsi dengan rakan-rakan dan juga keluarga. Jadi, secara asasnya snek ini menyatukan semua orang,”katanya, menambah syarikat itu merancang untuk memasarkan koleksi tersebut ke luar negara, khususnya rantau ASEAN. 

How berkata kerjasama itu juga dilihat berupaya memperkukuhkan lagi kedudukan dua jenama Malaysia ini di peringkat antarabangsa selain membawa gaya hidup dan identiti negara ke tahap lebih tinggi.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480570