AM

Rumah Terbakar Menjelang Deepavali, Nasib Mangsa Dapat Perhatian MB

19/10/2025 03:57 PM

PORT DICKSON, 19 Okt (Bernama) --  Kegembiraan menyambut Deepavali bertukar duka bagi sebuah keluarga apabila rumah mereka di Jalan Mayung, dekat sini musnah akibat kebakaran Jumaat lepas.

R. Gobinath, 25, berkata kebakaran rumah keluarganya itu berlaku kira-kira 11 malam ketika dia sedang bekerja di Bandar Enstek, Nilai manakala ahli keluarga lain tiada di rumah pada waktu kejadian.

Gobinath berkata dia dan tiga adik-beradik tinggal di rumah berkenaan bersama ibu bapa mereka, manakala seorang lagi abangnya menetap di Johor Bahru.

"Ketika kejadian saya di tempat kerja, keluarga lain berada di Cyberjaya. Saya mendapat panggilan kira-kira 12.30 tengah malam daripada jiran yang beritahu rumah kami terbakar, bumbung rumah jatuh.

"Apabila sampai ke rumah, saya lihat semua telah musnah, kami sangat sedih rumah jadi sebegini. Kami baru dua tahun tinggal di sini, tahun ini adalah Deepavali kedua kami meraikan di sini," katanya kepada pemberita.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata dia sekeluarga menanggung kerugian mencecah RM10,000 akibat insiden terbabit dan kini tinggal di rumah sewa berhampiran dengan kediaman mereka.

Gobinath berkata berbeza pada tahun lepas, persiapan Deepavali tahun ini dilakukan dengan lebih rapi, termasuk kerja pengubahsuaian di bahagian dapur serta pembelian beberapa perkakas elektrik baharu.

"Baju baharu bagi menyambut Deepavali turut rosak, kabinet televisyen yang baru dibeli dua hari sebelum kejadian pun musnah," katanya.

Dalam pada itu, musibah menimpa keluarga berkenaan mendapat perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang tampil menyalurkan bantuan kewangan kepada bapa Gobinath, M.Rajan.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga berkenaan dan berharap mereka diberi kekuatan bagi menghadapi dugaan itu.

"Saya turut menyeru masyarakat setempat terus menzahirkan keprihatinan dan semangat kebersamaan dengan membantu keluarga ini," katanya menerusi Facebook.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480623