AM

Deepavali Unik Keluarga Ravi Chandran-Wilai En Chat Di Kelantan

19/10/2025 03:41 PM

KOTA BHARU, 19 Okt (Bernama) -- Meskipun jumlah masyarakat India di Kelantan tidak seramai di negeri lain, kemeriahan sambutan Deepavali tetap dirasai keluarga Ravi Chandran Perumal, 58, dan isterinya, Wilai En Chat, 58, berketurunan Siam, yang sibuk membuat persiapan menjelang Pesta Cahaya itu esok.

Pasangan yang menetap di Kampung Balai, Bachok itu menjadikan Deepavali sebagai simbol penyatuan dua budaya India dan Siam yang diraikan secara sederhana namun sarat makna bersama dua anak mereka, Ganesan, 29, dan Gayathri, 25.

Ravi Chandran, yang mengusahakan sebuah restoran di Kubang Kerian berkata persiapan Deepavali tahun ini dibuat secara ala kadar memandangkan anak-anaknya sibuk dengan kerja dan pengajian masing-masing.

“Baju pun hanya beli dua pasang, yang lama masih boleh pakai. Kami sekeluarga suka pakai pakaian tradisional Punjabi sebab selesa dan tak panas, sesuai dengan cuaca di sini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain baju baharu, rumah mereka turut dipenuhi aroma kuih-muih tradisional seperti muruku dan kuih sarang tebuan yang dibuat sendiri oleh Wilai menggunakan resipi turun-temurun daripada ibu mentuanya.

“Saya belajar memasak daripada mak mentua sejak tahun pertama kahwin. Muruku memang susah nak buat sedap, tapi lama-kelamaan jadi biasa. Mentua saya memang ada resipi yang orang cari,” katanya.

Wilai berkata setiap kali menjelang Deepavali, mereka akan mengadakan upacara sembahyang untuk mendiang ibu bapa pada malam sebelum perayaan dengan buah pisang berangan dan pelbagai juadah kegemaran sebagai sajian utama.

“Untuk orang tua yang masih hidup, kami akan masak apa yang mereka suka, sama ada ayam atau kambing. Itu tanda kasih kita,” katanya.

Pada pagi Deepavali esok, keluarga itu akan menikmati sarapan tradisi India Selatan seperti tose, wade dan urudai, di samping roti jala serta gulai ayam gabungan cita rasa India dan Melayu yang sudah sebati dalam kehidupan mereka.

Ravi Chandran berkata mereka sekeluarga akan menyambut hari pertama Deepavali di rumah ibunya di Wakaf Bharu, Tumpat, sebelum berkunjung ke rumah sanak saudara di Kota Bharu dan Bachok pada hari berikutnya.

“Memang kalau di Kelantan ni sambutan agak kecil sebab kita minoriti, tetapi kamilah yang menghidupkan suasana. Kalau nak meriah, kena berkumpul,” katanya.

Ravi Chandran berkata masyarakat India di Kelantan lazimnya akan berkumpul di dua kuil utama di Jalan Hamzah, Kota Bharu dan di Tumpat yang menjadi tempat pertemuan rakan serta saudara-mara sempena perayaan itu.

“Kalau jumpa sesama India pun, kami bercakap loghat Kelantan. Itu yang menariknya India Kelantan mesra, mudah rapat dan tak janggal,” katanya.

Menurutnya walaupun berlainan agama dan budaya, hubungan antara kaum di Kelantan amat rapat, malah mereka turut menyesuaikan gaya hidup dengan masyarakat Melayu tempatan.

“Saya digelar dengan panggilan ‘Pok Mat’. Di rumah saya pakai kain pelekat, isteri pula kain sarung. Kami memang sudah terbiasa macam ini. Orang Kelantan semua baik, tak kira Melayu, Cina, India atau Siam — kami semua bersatu dalam bahasa loghat,” katanya.

Sementara itu, anak perempuannya Gayathri berkata Deepavali kali ini lebih meriah berbanding tahun lepas kerana ramai sanak saudara pulang ke Kelantan, selain menikmati pelbagai makanan moden seperti pani puri dan manisan Gulab Jamun yang kini turut dijual oleh peniaga Melayu.

“Kami seronok tengok ramai kaum lain turut raikan bersama. Deepavali bagi kami bukan sekadar cahaya, tetapi juga semangat perpaduan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480624