KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Reman terhadap pelajar lelaki disyaki menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, di sini disambung tujuh hari bermula esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata perintah reman hingga 28 Okt terhadap remaja 14 tahun itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini, selepas tempoh reman berakhir hari ini.
"Suspek (pelajar lelaki) disambung reman selama tujuh hari hingga 28 Okt," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya esok untuk arahan lanjut.
Semalam, Shamsudin memaklumkan polis telah merakam keterangan daripada 148 individu setakat ini bagi membantu siasatan, dan permohonan untuk menyambung perintah reman telah dikemukakan.
Pada Rabu lepas, Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha membenarkan suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kejadian pada 14 Okt lepas, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di sekolah berkenaan selepas disyaki ditikam berulang kali oleh suspek yang juga merupakan rakan sekolah mangsa.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher.
-- BERNAMA