KULIM, 21 Okt (Bernama) -- Dua individu direman tujuh hari sehingga 27 Okt untuk membantu siasatan kes letupan mercun ketika sambutan Deepavali di Paya Besar, Lunas dekat sini, Ahad lepas.
Perintah reman ke atas suspek lelaki 34 tahun dan wanita 23 tahun dikeluarkan Majistret Mahkamah Kulim Nur Hamizah Mat Shah.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Zulkifli Azizan berkata dua suspek itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki yang mabuk telah membeli mercun jenis kelapa bernilai RM200 dari sebuah khemah jualan berhampiran dan meletakkannya ke dalam silinder di tepi jalan.
”Mercun tersebut disyaki dimasukkan secara terbalik oleh suspek lelaki menyebabkan ia meletup di bawah selepas dibakar rakannya iaitu suspek wanita,” katanya.
Zulkifli berkata mangsa terdiri daripada pelbagai kaum termasuk seorang Bangladesh yang berada di lokasi untuk menyaksikan sambutan perayaan itu.
Semalam, polis mengesahkan 22 individu cedera termasuk seorang lelaki parah dengan kecederaan retak tengkorak di dahi dan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat letupan mercun di Paya Besar.
-- BERNAMA