JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Didakwa Memandu Bas Di Bawah Pengaruh Dadah, Sebabkan Kematian Pelancong Jepun

21/10/2025 06:09 PM

TAIPING, 21 Okt (Bernama) -- Seorang bekas pemandu bas persiaran didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang pelancong warga Jepun tahun lepas.

Hadzarshah Abu Hassan Al Sha’ari, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.

Mengikut pertuduhan, Hadzarshah didakwa memandu bas berkenaan semasa berada di bawah pengaruh dadah sehingga gagal mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya, menyebabkan kematian penumpang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 230.3 (arah selatan) Lebuhraya Utara-Selatan, dalam daerah Larut Matang dan Selama, pada 1.30 tengah hari, 24 Okt 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan penjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Seseorang yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen itu juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh minimum 10 tahun dari tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Nazura Azman tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan Hadzarshah sepatutnya dituduh pada Mei lepas, namun gagal hadir ke mahkamah dan tidak memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Kes ini turut mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Jepun kerana melibatkan kematian seorang warga Jepun. Selain itu, tertuduh tidak menetap di Perak dan dikhuatiri melarikan diri atau tidak hadir ke mahkamah,” katanya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ahmad Mukmin Aimi Azmi yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya kini bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM30 bagi setiap perjalanan, selain menanggung isteri yang bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan tidak tetap antara RM30 hingga RM40 sehari.

“Anak guam saya juga menanggung lima anak berusia antara tujuh hingga 18 tahun yang masih bersekolah, serta ibu bapa yang sudah uzur. Beliau turut mengalami masalah kesihatan pada kepala, tangan dan kaki akibat kemalangan itu, menyebabkan tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah pada Mei lepas,” katanya.

 Nazura kemudian memaklumkan bahawa tertuduh mempunyai beberapa rekod kesalahan berkaitan dadah dan tiada dokumen sokongan mengenai alasan ketidakhadiran ke mahkamah sebelum ini.

Beliau mencadangkan jaminan RM40,000 dengan dua penjamin, seorang daripada ahli keluarga tertuduh dan seorang lagi yang bekerja di Perak serta syarat tambahan termasuk lesen memandu ditarik balik dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Ahmad Mukmin Aimi bagaimanapun membantah jumlah itu kerana dianggap terlalu tinggi, namun bersetuju dengan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 berserta syarat yang ditetapkan, termasuk tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Dis ini.

Pada 24 Okt tahun lepas, seramai 13 penumpang termasuk pelancong Jepun cedera apabila sebuah bas persiaran melanggar bahagian belakang sebuah lori di KM230.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini.

Seorang pelancong wanita warga Jepun berusia 73 tahun, yang terlibat dalam kemalangan itu, disahkan meninggal dunia pada 9 malam hari sama ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481016