PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

21/10/2025 09:41 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Keuntungan sebelum ini dalam kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif terencat untuk ditutup lebih rendah hari ini, di tengah-tengah jangkaan peningkatan pengeluaran pada minggu-minggu akan datang, kata peniaga minyak sawit David Ng. 

Ng berkata tahap stok yang tinggi turut menjejaskan sentimen pasaran.

“Kami melihat harga disokong dengan baik pada paras RM4,450 satu tan, dengan rintangan pada RM4,650 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup, kontrak bulan semerta November 2025 meningkat sebanyak RM8 kepada RM4,447 satu tan, manakala Disember 2025 meraih RM1 kepada RM4,475 satu tan dan Januari 2026 susut RM8 kepada RM4,505 satu tan.

Kontrak Februari 2026 merosot RM13 kepada RM4,514 satu tan, Mac 2026 berkurangan RM25 kepada RM4,493 satu tan dan April 2026 jatuh sebanyak RM21 kepada RM4,475 satu tan.

Jumlah dagangan menurun kepada 64,163 lot daripada 84,025 lot, manakala kepentingan melemah kepada 279,217 kontrak berbanding 289,323 kontrak yang dicatatkan semasa Jumaat lepas.

Di pasaran fizikal, November Selatan naik RM20 kepada RM4,460 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481262