KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd telah menyemak semula unjurannya untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025 kepada 4.7 peratus tahun ke tahun (y-o-y) daripada 4.2 peratus, dipacu oleh momentum pertumbuhan KDNK pada suku ketiga 2025.
Memetik anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dikeluarkan pada 17 Oktober, 2025, ia berkata KDNK negara meningkat 5.2 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2025 (suku kedua 2025: 4.4 peratus), berikutan peningkatan dalam semua sektor terutamanya sektor perlombongan dan elektrik.
“Susulan perubahan itu (peningkatan dalam semua sektor), kami kini percaya bahaya eksport yang kukuh dijangka kekal sebelum pelaksanaan tarif bermula, dan ekonomi domestik kelihatan lebih berdaya tahan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
CGS International berkata prestasi KDNK suku ketiga 2025 yang memberangsangkan memerlukan semakan semula atas sebab statistik, Malaysia kelihatan dapat menangani cabaran ekonomi global.
Firma penyelidikan itu berkata data KDNK suku ketiga 2025 yang muktamad dijadual untuk dikeluarkan pada 14 November, 2025.
“Untuk 2026, kami menjangkakan momentum positif itu akan berlanjutan dan kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 4.6 peratus,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Kewangan IPP (IPPFA) Malaysia juga telah menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar 2025 untuk Malaysia kepada 4.8 peratus daripada 4.5 peratus, dipacu oleh data suku ketiga yang lebih kukuh daripada jangkaan yang memberi petunjuk bahawa permintaan domestik dan momentum eksport meningkat.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Mohd Sedek Jantan berkata berdasarkan model Bayesian vector autoregression (BVAR) menggunakan petunjuk frekuensi tinggi, semakan itu menunjukkan peningkatan 0.3 mata peratusan daripada pemulihan perlombongan dan eksport yang lebih kukuh, meletakkan ekonomi Malaysia dalam kedudukan lebih baik walaupun dalam ketidaktentuan global.
-- BERNAMA