GAYA HIDUP

Pemuzik Malaysia Vincent Ong Raih Tempat Kelima Di Pentas Piano Chopin, Warsaw

21/10/2025 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pemuzik muda Malaysia, Vincent Ong melakar pencapaian membanggakan apabila meraih tempat kelima di Pertandingan Piano Antarabangsa Fryderyk Chopin ke-19 yang berakhir di Warsaw, Poland, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Menurut keputusan rasmi yang dipaparkan di laman web pertandingan itu, Ong berkongsi kedudukan dengan wakil tuan rumah Piotr Alexewicz. 

Pertandingan yang berlangsung di Dewan Konsert Filharmonik Kebangsaan Warsaw itu menghimpunkan 11 finalis terbaik dunia, dengan setiap peserta mempersembahkan karya agung Fryderyk Chopin termasuk Polonaise-Fantaisie (Op. 61) diiringi Orkestra Filharmonik Kebangsaan Warsaw.

pic-2

Eric Lu dari Amerika Syarikat diumumkan juara, diikuti Kevin Chen dari Kanada sebagai naib juara, Zitong Wang (China) di tempat ketiga, sementara Shiori Kuwahara (Jepun) dan Tianyao Lyu (China) berkongsi tempat keempat 

Pertandingan yang dianjurkan setiap lima tahun sejak 1927 itu diiktiraf sebagai antara pentas paling berprestij dalam dunia muzik klasik dan sering menjadi batu loncatan kerjaya antarabangsa pianis muda.

--  BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481028