KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Sanae Takaichi atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu.
Anwar berkata pelantikan Takaichi sebagai Perdana Menteri yang juga wanita pertama memimpin Jepun merupakan detik penting dalam landskap politik negara matahari terbit itu.
“Saya ucapkan tahniah kepada Sanae Takaichi atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Jepun.
“Pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri wanita Jepun pertama merupakan satu detik bersejarah dalam arena politik negara itu, menggambarkan keazaman beliau serta evolusi demokrasi Jepun yang semakin matang,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia amat menghargai Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) dengan Jepun, yang berteraskan kepercayaan, inovasi dan komitmen bersama terhadap kestabilan rantau dan pertumbuhan mampan.
“Saya menantikan kehadiran Perdana Menteri Takaichi ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun minggu depan, dengan kedua-dua negara akan terus memperkukuh kerjasama ini,” kata beliau.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba, atas lawatannya ke Malaysia awal tahun ini, yang disifatkan dapat mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Takaichi, 64, mencipta sejarah apabila muncul wanita pertama memimpin Jepun selepas menerima 237 undi melebihi majoriti daripada 465 kerusi di Dewan Perwakilan.
Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) itu dipilih selepas mendapat sokongan parti sekutu baharu Parti Inovasi Jepun (JIP).
-- BERNAMA