KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Malaysia komited mematuhi syarat kesihatan baharu bagi ibadah haji musim 1447H/2026M yang diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Mohd Na’im menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata garis panduan kesihatan yang ditetapkan itu bertujuan menjaga keselamatan, kelancaran dan kesempurnaan ibadah para dhuyufurrahman.
“Ibadah haji bukan sekadar rukun Islam kelima, ia juga ujian kemampuan (istito’ah), termasuk kemampuan dari segi kesihatan fizikal dan mental. Tanpa tubuh yang sihat, ibadah haji yang sempurna sukar untuk dicapai,” katanya dalam hantaran itu.
Beliau berkata Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan (KKM) kini memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan wajib bagi memastikan hanya bakal haji yang benar-benar layak dari segi kesihatan dibenarkan berangkat mengerjakan ibadah itu.
Bagi mereka yang belum melepasi tahap kesihatan minimum, TH menyarankan penangguhan giliran haji namun langkah itu bukan sebagai sekatan sebaliknya peluang untuk memperbaiki kesihatan dan bersedia sepenuhnya.
“TH juga akan memastikan setiap penginapan jemaah di Makkah dan Madinah dilengkapi klinik kesihatan, farmasi, dan pegawai perubatan bertauliah manakala kes serius akan dirujuk ke hospital Arab Saudi dengan pemantauan rapi oleh pakar KKM,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan Arab Saudi menerusi Kementerian Kesihatan negara itu juga telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kemudahan hospital sektor awam dan swasta yang moden dengan teknologi terkini, dan penambahan anggota kesihatan bagi operasi haji serta perkhidmatan kesihatan di kawasan utama ibadah haji.
Selain itu, Mohd Na'im yakin dengan penugasan 225 petugas perubatan KKM di Tanah Suci, mutu perkhidmatan kesihatan jemaah Malaysia akan terus berada pada tahap terbaik.
“Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama TH dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan terus berganding bahu demi menjamin kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia.
-- BERNAMA