AM

Sidang Kemuncak ASEAN: Polis Sedia Hadapi Sebarang Kemungkinan - KPN

21/10/2025 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata langkah-langkah proaktif telah dilaksanakan termasuk risikan awal, pemantauan berterusan serta penempatan pasukan tindakan khas di lokasi strategik, bagi menangani sebarang kemungkinan seperti keselamatan siber dan tunjuk perasaan.

“Sebanyak 10,170 pegawai dan anggota PDRM telah digerakkan bagi melaksanakan penugasan keselamatan sepanjang acara berprestij itu berlangsung,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini, berhubung kesiapsiagaan PDRM dalam menghadapi persidangan yang dihadiri oleh ramai pemimpin utama dunia itu.

Mohd Khalid berkata penugasan turut melibatkan penggunaan pelbagai aset darat dan udara termasuk dron pemantauan, kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi dan sistem komunikasi taktikal bersepadu selain pendekatan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi di lapangan.

Beliau berkata kawalan keselamatan tidak hanya tertumpu pada lokasi utama persidangan dan hotel penginapan rasmi delegasi, tetapi turut meliputi semua pintu masuk utama negara termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat.

“Kawasan strategik di sekitar Lembah Klang seperti Putrajaya turut berada di bawah pemantauan rapi dan semua Kontinjen PDRM telah diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus mengingatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang gangguan sepanjang persidangan berlangsung termasuk menganjurkan perhimpunan di sekitar ibu negara yang boleh mengganggu persidangan dan ketenteraman awam.

“Jika terdapat pelanggaran terhadap perkara ini, ia akan dianggap sebagai jenayah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fadil juga memohon masyarakat agar bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang persidangan berkenaan berlangsung kerana ia akan menjadi tumpuan dunia yang mahu melihat persembahan Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini dengan penyertaan pemimpin tertinggi 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.

-- BERNAMA

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481124