KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan melarikan dua buah kenderaan di sebuah kawasan perumahan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 7.45 pagi semalam selepas mangsa, seorang pesara universiti awam berusia 62 tahun mendapati rumahnya dipecah masuk ketika beliau dan isterinya sedang tidur.
“Suspek dipercayai melarikan sebuah kereta Mercedes-Benz dan Perodua Kelisa yang diletakkan di kawasan parkir rumah bersama satu beg tangan milik isteri mangsa yang mengandungi dokumen peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata hasil maklumat dan siasatan, sepasukan anggota Cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 32 tahun di Cheras antara 6 petang hingga 8.30 malam, iaitu kira-kira 14 jam selepas laporan dibuat.
Beliau berkata polis berjaya menemukan semula dua kenderaan berkenaan bersama beg tangan milik isteri mangsa yang mengandungi pelbagai barangan antaranya seutas jam tangan, seutas rantai emas, dua telefon bimbit dan dompet.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan 13 kes jenayah dan sembilan kes dadah selain kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Naazron berkata suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA