Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, mencerminkan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, di tengah-tengah pemulihan harga minyak mentah dan penurunan ringgit berbanding dolar US, kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran telah disokong oleh perkembangan positif di sekitar Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan peningkatan jangkaan pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada penghujung tahun ini.
Bagaimanapun, momentum menaik ini dihadkan oleh kebimbangan mengenai potensi kesan pertikaian perdagangan China-Belanda dalam industri automotif.
Kenaikan harga minyak telah dipacu oleh risiko bekalan yang berkaitan dengan sekatan serta harapan daripada perjanjian perdagangan AS-China.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga SMR 20 tidak berubah pada 744.0 sekilogram, manakala lateks pukal menyusut setengah sen kepada 568.00 sekilogram.
-- BERNAMA