JENAYAH & MAHKAMAH

Penunggang Motosikal Cedera Langgar Kereta Peronda Polis

21/10/2025 06:43 PM

SHAH ALAM, 21 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki cedera apabila motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta peronda polis (MPV) di persimpangan lampu isyarat Padang Jawa menghala ke Seksyen 16 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian 6.19 petang itu, kereta peronda berkenaan dari arah Jalan Sungai Rasau menghala ke Seksyen 19 untuk ke lokasi Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999.

"Setibanya di persimpangan lampu isyarat Padang Jawa dalam keadaan memasang lampu beacon (mata arah) dan siren, MPV polis telah dilanggar motosikal ditunggang lelaki berumur 27 tahun dari arah Jalan Padang Jawa.

"Pelanggaran mengakibatkan penunggang motosikal cedera di bahagian tulang pinggul serta luka di tangan. Lelaki itu dirawat di Hospital Shah Alam manakala anggota MPV bertugas tidak mengalami kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan dalaman turut dibuat bagi mengenal pasti jika terdapat kecuaian pihak polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Insp Zaharizul Zamri di talian 019-3229097 bagi membantu siasatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481198