GEORGE TOWN, 22 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki yang menjalankan kegiatan samun dan ragut sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa dalam kejadian di sekitar daerah Timur Laut, di sini berjaya ditahan polis di Sitiawan, Perak 12 Okt lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Jenayah Khas D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, dalam serbuan di sebuah rumah kira-kira 2 pagi.
“Ekoran penahanan lelaki itu, polis merampas sebuah motosikal yang digunakannya bagi kegiatan jenayah tersebut dan modus operandi suspek adalah dengan meronda menunggang motosikal serta menyasarkan penunggang motosikal lelaki memakai rantai emas.
“Polis percaya dengan penahanan lelaki itu telah berjaya menyelesaikan 11 kes samun di Pulau Pinang dan tiga kes di Kulim, Kedah. Suspek yang positif dadah, mempunyai 14 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata lelaki yang merupakan penganggur itu direman 10 hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Azizee berkata empat individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan disumbat dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh dekat sini, 9 Okt lepas merupakan warga tempatan.
Beliau berkata dua lelaki dan dua wanita yang kesemuanya berusia 24 hingga 42 tahun itu, ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Kontijen Pulau Pinang di Butterworth, dekat sini dan Kampar, Perak hasil risikan serta intipan yang dijalankan.
“Pihak polis ingin memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan dan mendatangkan kegusaran dalam kalangan ahli masyarakat,” katanya.
Terdahulu Bernama melaporkan polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes itu dan kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat lelaki yang disumbat dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh.
Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Lee Boon Han, 31, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 8 Okt.
-- BERNAMA