KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkukuh ketelusan dalam pengendalian rayuan akaun bank ditutup dengan mewajibkan institusi kewangan mengeluarkan notis bertulis kepada pemegang akaun terjejas, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata notis itu perlu disertakan dengan sebab penutupan akaun tanpa mendedahkan maklumat sensitif siasatan bagi mengelak pemberitahuan awal.
“Notis ini juga perlu menerangkan hak pemegang akaun untuk mengemukakan rayuan, termasuk saluran rayuan yang tersedia, tempoh masa diperuntukkan serta proses yang perlu diikuti untuk mengemukakan permohonan rayuan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH–Seputeh) mengenai langkah kerajaan memperkemas koordinasi antara bank, BNM dan agensi penguatkuasa bagi mempercepat dan memperjelas proses rayuan akaun bank yang ditutup atas syak di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Lim berkata menerusi pendekatan itu, BNM dapat mengimbangi keperluan pencegahan aktiviti pengubahan wang haram dengan perlindungan hak pemegang akaun daripada tindakan penutupan akaun secara sewenang-wenangnya.
Selain itu, bank pusat itu turut bekerjasama dengan institusi kewangan bagi mengeluarkan satu protokol rujukan industri pada 1 Julai 2024 yang bertujuan memastikan semua institusi kewangan mempunyai panduan seragam dalam melaksanakan pelaporan, pengendalian dan rayuan akaun yang disyaki sebagai akaun keldai.
Protokol ini merangkumi integrasi proses dan tindakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta institusi kewangan bagi memastikan pelaksanaan yang bersepadu dan berkesan iaitu institusi kewangan diwajibkan menyemak status kes terkini sebagai pertimbangan utama sebelum melaksanakan tindakan susulan seperti pemutihan, penyahsenaraian atau pemulihan akaun.
BNM juga, kata Lim, sentiasa memantau amalan industri kewangan dalam menyelesaikan aduan pengguna bagi memastikan pengadu diberi layanan yang adil.
Beliau turut memberi jaminan bahawa semua kes di bawah AMLA akan ditangani secara telus dan adil tanpa campur tangan, termasuk melibatkan entiti asing.
Ini berikutan integriti sistem kewangan negara menjadi keutamaan kerajaan dan setiap tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan berlandaskan undang-undang sedia ada.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) yang meminta jaminan kerajaan agar tidak tunduk kepada tekanan luar berhubung kes sebuah syarikat asing yang didakwa melanggar undang-undang imigresen dan dituduh di bawah AMLA melibatkan projek di Springhill, Port Dickson.
-- BERNAMA