AM

Kerjasama Asia Timur-ASEAN Masuki Fasa Baharu Pertumbuhan Pragmatik, Autonomi Serantau - Ahli Ekonomi

22/10/2025 05:12 PM

Oleh Karina Imran 

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kerjasama antara negara-negara Asia Timur, iaitu China, Korea Selatan dan Jepun dengan ASEAN memasuki fasa baharu berteraskan kerjasama dan kepentingan bersama, membentuk dekad akan datang dalam pertumbuhan ekonomi berbanding penjajaran politik, kata ahli ekonomi.

Ini dapat dilihat daripada rantau tersebut yang menuju ke arah autonomi lebih besar berasaskan saling kebergantungan, mencerminkan perubahan yang pragmatik di rantau ini dalam situasi persaingan kuasa besar yang semakin memuncak, kata Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan.

Beliau memberitahu Bernama bahawa inisiatif serantau seperti Grid Tenaga ASEAN, rangka kerja semikonduktor serantau dan sistem penyelesaian mata wang tempatan akan membantu merapatkan jurang struktur di blok tersebut.

Peningkatan pembiayaan iklim dan rangka kerja tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang baharu perlu memperkukuh daya tahan digital dan alam sekitar, katanya mengulas mengenai tahap kerjasama Asia Timur-ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada minggu ini.

“Kerjasama Asia Timur-ASEAN telah memasuki fasa yang lebih matang dan berdaya tahan, berteraskan rangka kerja ASEAN+3 dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Hubungan perdagangan dan pelaburan kekal kukuh apabila perdagangan ASEAN-China berjumlah US$468.8 bilion pada 2023 manakala Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) Jepun menyumbang sebanyak 31.4 peratus daripada pembiayaan infrastruktur ASEAN antara 2015 dan 2021,” katanya.

Peranan Korea Selatan turut penting, dengan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai lebih US$7.3 bilion meliputi lebih 5,500 syarikat, memperkukuh kesalinghubungan industri dan teknologi di rantau ini.

 

Memacu Pertumbuhan Serantau Melalui Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 

Mohd Sedek berkata gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN diunjurkan mencecah US$4.5 trilion menjelang 2030, disokong oleh aliran pelaburan baharu, demografi yang menggalakkan dan kesalinghubungan antara rantau yang baik. 

“Rakan-rakan Asia Timur kekal menjadi teras kepada prospek ini, dengan perdagangan Jepun bernilai US$28.98 bilion terus menyokong pemodenan infrastruktur.

“Sementara itu, FDI Korea Selatan sebanyak US$479 juta dalam sektor kenderaan elektrik memacu fasa seterusnya dalam pembangunan rantaian bekalan hijau,” katanya. 

Mohd Sedek berkata agenda ekonomi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 adalah bertumpu kepada tiga tema - transformasi digital, pertumbuhan mampan dan integrasi industri bernilai tinggi - yang akan terus menyokong kerjasama ASEAN-Asia Timur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan sidang kemuncak itu bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Mesyuarat persediaan oleh pegawai-pegawai kanan dijadualkan bermula pada 23 Oktober, diikuti mesyuarat peringkat menteri dan kemudiannya sidang kemuncak dari 26 hingga 28 Oktober ini.

 

PED Perkukuh Kerangka Serantau ASEAN

Mohd Sedek berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menjana hasil yang memperkukuh kerjasama Asia Timur-ASEAN berlandaskan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) menerusi kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

“Semua ini diatur berasaskan empat teras iaitu perdagangan dan pelaburan, kemampanan, kesalinghubungan dan daya tahan digital sekali gus mencerminkan usaha Malaysia ke arah pertumbuhan serantau yang inklusif,” katanya.

Beliau berkata Malaysia berada di landasan untuk menyelesaikan 15 daripada 18 PED, termasuk Deklarasi Kerjasama Ekonomi ASEAN-GCC, Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 serta Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA) yang akan dilaksanakan.

Gabungan inisiatif itu berpotensi meningkatkan pendapatan tahunan ASEAN kira-kira sebanyak US$19 bilion dan melonjakkan eksport pembuatan hampir sebanyak US$78 bilion menjelang 2030, katanya.

Memorandum Persefahaman Grid Tenaga ASEAN, Inisiatif Kesalinghubungan Pembayaran Serantau serta Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) juga penting, yang kesemuanya membentuk asas bagi ekonomi bersepadu secara digital dan rendah karbon bernilai sehingga US$2 trilion menjelang 2030.

“Ini memperkukuh autonomi ekonomi ASEAN ketika persaingan kuasa besar semakin sengit.

“Usaha ini juga menunjukkan kematangan struktur serantau yang mampu mengekalkan pertumbuhan secara kendiri, inklusif dan kurang bergantung kepada kitaran monetari dan fiskal luaran,” katanya.

 

Kekalkan Pertumbuhan ketika Ketidaktentuan Global, Perubahan Dinamik Perdagangan

Berasaskan kadar pertumbuhan ASEAN+3 diunjurkan pada 4.0 peratus dan ASEAN pada 4.3 peratus tahun ini, Mohd Sedek berpandangan asas ekonomi rantau ini adalah kukuh, dipacu oleh permintaan domestik dan kepelbagaian rantaian bekalan yang semakin teguh.

“Daya tahan ini amat ketara berikutan ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat dan tekanan lebihan kapasiti perindustrian China,” katanya.

Beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berpotensi menjadi pemangkin kepada penyepaduan serantau.

Perancangan bagi peningkatan kepada ACFTA 3.0 serta Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dijangka memanfaatkan potensi RCEP sepenuhnya, dengan unjuran peningkatan pendapatan sebenar sehingga 2.5 peratus dan lonjakan perdagangan sebanyak 12.3 peratus menjelang 2035, katanya.

“Kerjasama Asia Timur-ASEAN kini bergerak melangkaui kebergantungan untuk menuju ke arah model pengukuhan bersama dengan disokong oleh aliran pelaburan, teknologi dan pelancongan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Kami menjangkakan hasil sidang kemuncak ini mewujudkan pengganda bagi jangka masa pendek sebanyak 1.2 hingga 1.5 kali (2025-2026) melalui inisiatif perdagangan atau digital, dan meningkat kepada 1.5 hingga 1.8 kali menjelang 2030 menerusi infrastruktur atau kemampanan,” katanya.

Filipina akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 2026.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481350