KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia akan membawa tiga deklarasi utama sebagai usaha memerangi jenayah rentas sempadan di rantau ini pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata deklarasi hasil daripada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 yang berlangsung pada 8 hingga 12 Sept lepas di Melaka itu, sebagai pelengkap kepada pelan strategik serantau yang akan memandu ASEAN dalam dekad mendatang.
"Sidang kemuncak ASEAN ini bukan sekadar kesinambungan, tetapi satu jambatan penting yang memastikan hasil perbincangan AMMTC di Melaka diterjemahkan menjadi dasar nyata pada peringkat kepimpinan ASEAN.
"AMMTC ke-19 di Melaka telah bersetuju untuk menerima pakai Pelan Tindakan ASEAN dalam Memerangi Jenayah Transnasional 2026-2035, pelan strategik jangka panjang yang menjadi payung utama dalam usaha memerangi jenayah rentas sempadan di rantau ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin Nasution berkata pelan tindakan itu memberi fokus kepada kerjasama risikan, pengukuhan sistem keadilan, keselamatan digital, ketahanan sosial serta peningkatan kapasiti penguatkuasaan.
Tiga deklarasi itu, pertama Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pencegahan Pengubahan Wang Haram diterajui Malaysia yang menegaskan komitmen ASEAN untuk memperkukuh integriti kewangan serantau melalui pengawalseliaan lebih ketat, kerjasama risikan dipertingkatdan perkongsian maklumat rentas agensi bagi membanteras aktiviti kewangan haram secara berkesan.
Kedua, Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pemantauan dan Penangkapan Buron Jenayah Rentas Sempadan yang diusulkan Vietnam, menegaskan keperluan kerjasama ASEAN untuk mempercepat pengesanan, penahanan dan pemulangan penjenayah rentas sempadan melalui perkongsian maklumat, penyelarasan operasi dan pengukuhan perjanjian ekstradisi supaya tiada ruang selamat bagi penjenayah di rantau ini.
Ketiga, Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pemanfaatan Sukan sebagai Alat Memperkukuh Ketahanan Sosial terhadap Ekstremisme diusulkan Indonesia yang memperkenalkan pendekatan progresif dan inklusif dengan menjadikan sukan dan pembangunan belia sebagai alat membina ketahanan sosial, memupuk perpaduan serta mencegah radikalisme melalui penglibatan positif komuniti.
Saifuddin Nasution berkata ketiga-tiga deklarasi itu menjadi asas penting menjelang Sidang Kemuncak ASEAN, iaitu komitmen dicapai di Melaka akan diterjemahkan kepada dasar serta pelan tindakan serantau berpaksikan Pelan Tindakan ASEAN 2026-2035.
"Malaysia bangga menjadi tuan rumah kepada perbincangan strategik itu yang membuktikan kemampuan diplomasi negara dalam memimpin rundingan yang kompleks, serta kesungguhan kita menjadikan ASEAN sebagai rantau selamat, inklusif dan berdaya tahan.
“Inilah semangat Malaysia MADANI yang kami bawa ke pentas ASEAN, membina rantau yang aman, progresif serta berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt, menyaksikan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.
-- BERNAMA