AM

Sidang Kemuncak ASEAN: Operasi Pengangkutan Awam Dipertingkat, Pastikan Kelancaran Pergerakan

22/10/2025 12:41 PM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil langkah proaktif mempertingkatkan operasi pengangkutan awam bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai dan delegasi antarabangsa pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt.

MOT dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebagai langkah persediaan, Rapid KL melanjutkan operasi tren semasa waktu puncak, menambah kekerapan perjalanan, menempatkan petugas tambahan di stesen utama dan mempertingkatkan pemantauan operasi sepanjang tempoh itu.

“Langkah ini sejajar dengan usaha Kerajaan MADANI untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih mudah, cekap serta tangkas selaras dengan prinsip ihsan dan kesejahteraan rakyat dalam gagasan Malaysia MADANI.

“Pelaksanaan penambahbaikan ini turut dilaksanakan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam berikutan pelaksanaan lencongan dan penyuraian jalan raya secara berperingkat oleh pihak berkuasa di beberapa laluan utama masuk dan keluar ibu negara sepanjang tempoh sidang kemuncak,” menurut kenyataan itu. 

MOT memaklumkan operasi perkhidmatan rel Rapid KL dilanjutkan satu jam pada waktu puncak pagi dan petang selama dua hari bermula 27 Okt selain kekerapan tren pada 25 dan 26 Okt turut dipertingkatkan bagi menampung jumlah penumpang yang dijangka meningkat.

“Rapid KL juga akan menggerakkan tren tambahan sekiranya berlaku peningkatan jumlah penumpang atau mengikut keperluan operasi semasa. Seramai 400 petugas tambahan akan ditempatkan di stesen utama bagi membantu melancarkan pergerakan pengguna dan delegasi ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Bagi perkhidmatan bas dan Rapid KL On-Demand, MOT memaklumkan beberapa laluan bas dijangka mengalami kelewatan perjalanan susulan penutupan jalan di sekitar pusat bandar.

Ia termasuk Laluan 402 (LRT Titiwangsa–LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa–KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah–Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya–Lebuh Ampang), Rapid KL On-Demand (Zon Titiwangsa–Chow Kit) dan Rapid KL On-Demand (Zon CBD).

Selain itu, pengguna yang menuju ke KLCC dan kawasan sekitar disaran menggunakan perkhidmatan rel sebagai alternatif, dengan antara stesen berdekatan ialah Stesen KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen Persiaran KLCC (Laluan Putrajaya), Stesen Raja Chulan (Monorel KL), Stesen Conlay (Laluan Putrajaya) dan Stesen Bukit Bintang (Laluan Kajang dan Monorel KL). 

MOT memaklumkan perkhidmatan KLIA Ekspres akan beroperasi seperti biasa dengan penambahan kekerapan tren bagi memastikan kelancaran perjalanan menuju ke dan dari Terminal 1 serta Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Bagi perkhidmatan KLIA Transit, tren tambahan disediakan pada 1 pagi dari KLIA Terminal 2 menuju ke KL Sentral. Jadual perjalanan KLIA Ekspres dan KLIA Transit bagi tempoh 22 hingga 28 Okt turut dikemas kini bagi menampung peningkatan jumlah penumpang sepanjang tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.

MOT memaklumkan Rapid KL dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) memberi jaminan kesemua aset dan kemudahan pengangkutan awam berada dalam keadaan baik serta bersedia sepenuhnya bagi menampung peningkatan jumlah penumpang sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

MOT menyeru warga kota untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan ke kawasan tumpuan dan menyumbang kepada kelancaran trafik sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481369