AM

Banjir Perak: Penduduk Kawasan Berisiko Diingatkan Segera Berpindah

24/10/2025 10:51 AM

IPOH, 24 Okt (Bernama) -- Penduduk di kawasan berisiko banjir diingatkan agar tidak menunggu saat akhir untuk berpindah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed.

Beliau berkata keselamatan nyawa diri dan keluarga perlu menjadi keutamaan dan mereka yang berkenaan diseru membuat persediaan awal.

“Sekiranya diarahkan berpindah, segeralah ke pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat,” katanya dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Salbiah berkata pasukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama agensi penyelamat telah bersiap siaga sepenuhnya di lapangan bagi menghadapi bencana itu.

Beliau berkata persediaan rapi dibuat termasuk menyediakan tempat perlindungan yang selamat dan selesa, makanan, minuman dan keperluan asas bagi setiap mangsa selain sokongan psikososial kepada keluarga yang terkesan serta menyelaras sumbangan dan sukarelawan agar bantuan sampai dengan teratur.

“Kerajaan Perak memberi jaminan setiap keperluan rakyat yang terkesan akan dijaga dengan sebaiknya. Bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh terus menghubungi Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di daerah masing-masing untuk penyelarasan bantuan,” katanya.

Setakat 8 pagi tadi, sebanyak 2,171 penduduk daripada 759 keluarga dipindahkan ke 22 PPS di daerah Larut Matang dan Selama serta Manjung apabila hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah berkenaan dinaiki air.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482328