AM

Warga KKR Perlu Bertindak Segera Hadapi Bencana Alam - Nanta

24/10/2025 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) - -Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menggesa semua warga kementerian serta agensi di bawahnya bertindak segera dengan penuh kepekaan dan rasa tanggungjawab tinggi dalam menghadapi pelbagai insiden bencana alam akibat cuaca buruk kebelakangan ini.

Beliau berkata antara kejadian terbaharu ialah runtuhan cerun dan pokok tumbang di Jalan Tun Sardon di Balik Pulau, Pulau Pinang serta banjir yang melanda beberapa kawasan di Perak semalam.

“Saya difahamkan kerja-kerja pembersihan telah dijalankan, namun keadaan cerun masih dipantau berikutan cuaca yang tidak menentu.

“Saya telah mengarahkan supaya tindakan segera, penyelarasan di lapangan dan pelaporan terkini dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Nanta, setiap jam amat berharga apabila nyawa serta keselamatan rakyat menjadi keutamaan.

Beliau turut mengingatkan warga Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensinya agar kekal proaktif, responsif serta bersatu dalam setiap tindakan, bukan sahaja ketika krisis, tetapi dalam setiap tugasan demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan infrastruktur negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482701