KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia akan mengulangi komitmennya terhadap multilateralisme dan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa Kementerian Luar memperingati ulang tahun ke-80 badan dunia itu menerusi Majlis Memperingati Hari PBB di sini Isnin ini.
Wisma Putra memaklumkan majlis berkenaan diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15 dengan tumpuan utama termasuk ucaptama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof serta sesi Bicara Eksekutif oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres bertajuk “80 Years of the UN: The Future of Multilateralism”.
“Sesi berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi WebTV PBB https://webtv.un.org/en.
“Acara berkenaan memperlihatkan kerjasama jangka panjang Malaysia dengan PBB dan mengulangi semula komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan MADANI terhadap multilateralisme dan badan dunia itu,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.
Acara terbabit juga akan menampilkan pameran daripada pelbagai pihak yang memaparkan berkaitan kerjasama Malaysia-PBB, dengan melibatkan penyertaan Kementerian Pertahanan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Ekonomi serta Pusat Pengaman Malaysia.
Majlis Memperingati Hari PBB itu bakal menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan yang bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam meningkatkan pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mampan demi kesejahteraaan rakyat Malaysia.
“Mereka antaranya terdiri daripada komuniti perdagangan, ahli Parlimen, akademia, kumpulan pemikir, belia, pertubuhan bukan kerajaan, kor diplomatik dan pertubuhan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Bertemakan “Malaysia-UN: Our Shared Journey”, acara anjuran bersama Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM), Pasukan Negara PBB (UNCT) serta beberapa kementerian dan agensi kerajaan itu dijadualkan bermula pada 12 tengah hari hingga 4 petang di sebuah hotel di sini.
-- BERNAMA