ALOR SETAR, 24 Okt (Bernama) -- Pertandingan Inovasi Jet Kawalan Jauh (RC Jet) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung sempena Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Zon Utara 2025, menyerlahkan keupayaan dan kreativiti pelajar sekolah menengah dalam mereka bentuk serta mengendalikan pesawat kawalan jauh berteraskan ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Ketua Cawangan Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara Farahzaida Abdul Kader berkata pertandingan itu bukan sekadar menguji kreativiti pelajar dalam pembinaan pesawat, malah menggalakkan mereka menerapkan elemen Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara praktikal.
“Pertandingan yang dianjurkan Pusat Sains Negara ini memberi peluang kepada peserta memahami serta mengaplikasikan ilmu STEM dalam bidang aeromodelling serta menerbangkannya secara kawalan jauh.
“Ia juga menjadi platform mendedahkan mereka kepada aspek kejuruteraan dan prinsip penerbangan sebenar, iaitu setiap rekaan pesawat memerlukan ketepatan dari segi reka bentuknya agar boleh diterbangkan,” katanya ketika ditemui Bernama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong di sini hari ini.
Beliau berkata pertandingan bermula semalam itu melibatkan dua fasa utama iaitu sesi pembinaan dan sesi penerbangan, dengan setiap pasukan dinilai berdasarkan keupayaan teknikal serta kreativiti dalam mereka bentuk pesawat kawalan jauh.
“Semalam, peserta telah membina pesawat menggunakan komponen yang disediakan penganjur. Hari ini pula, mereka diuji dari segi kebolehan menerbangkan pesawat serta ketepatan melakukan ujian penerbangan yang ditetapkan,” katanya.
Farahzaida berkata penilaian dibuat berdasarkan tiga kriteria utama iaitu reka bentuk pesawat, penguasaan teknikal dan pengetahuan berkaitan aeromodelling serta kemahiran dalam penerbangan.
Beliau berkata penyertaan tahun ini meningkat berbanding edisi terdahulu dengan 45 pasukan dari pelbagai sekolah menengah di seluruh negara mengambil bahagian, termasuk beberapa sekolah yang menghantar lebih daripada satu pasukan.
“Peningkatan penyertaan ini menunjukkan minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi semakin berkembang, sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh agenda STI di peringkat akar umbi,” katanya.
Menurutnya, pertandingan tersebut pertama kali dianjurkan pada 2019 di Langkawi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA), sebelum diadakan pada 2023 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan kini diadakan di Alor Setar bagi edisi ketiga.
“Setiap kali penganjuran, kami dapat lihat peningkatan dari segi kualiti pesawat yang dihasilkan. Kali ini, setiap reka bentuk menonjolkan keunikan dan kekuatan tersendiri hingga juri perlu lebih teliti dalam membuat penilaian,” katanya.
Menurut Farahzaida, pertandingan itu juga menjadi platform penting dalam melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan berfikiran inovatif, seiring dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat berasaskan pengetahuan.
Katanya, keputusan pertandingan akan diumumkan esok pada majlis perasmian Minggu Sains Negara Zon Utara 2025, yang dijangka disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah Dr Haim Hilman Abdullah.
Sementara itu, seorang peserta pertandingan Adam Haris Noor Saiful Anizar, 17, berkata melalui pertandingan itu dia dapat mempelajari banyak ilmu baharu khususnya berkaitan mereka bentuk pesawat kawalan jauh.
“Saya rasa sangat seronok dapat lihat pelbagai reka bentuk pesawat oleh pasukan lain yang semua cantik dan hebat. Saya juga dapat berkenalan dengan rakan baharu yang turut menyertai pertandingan ini,” kata pelajar Kolej Vokasional Taiping, Perak itu.
Bagi rakan sepasukannya, Waeil Jamaluddin, 17, pertandingan itu membolehkan dia mengaplikasikan pengetahuan bidang STEM yang dipelajarinya dan berasa sangat teruja apabila pesawat dibina dapat diterbangkan dengan baik.
-- BERNAMA