BEIJING, 23 Okt (Bernama-CMG) -- Sidang pleno keempat Jawatankuasa Pusat ke-20 Parti Komunis China (PKC) yang berlangsung di Beijing dari 20 hingga 23 Okt menarik perhatian dunia apabila menjadi medan penting bagi menentukan hala tuju pembangunan masa depan negara itu.
Masyarakat antarabangsa berpendapat sidang berkenaan bukan sahaja akan memacu pembangunan berkualiti tinggi di China, malah menyuntik lebih banyak unsur kestabilan dan tenaga positif kepada dunia, di samping menjadi rujukan baharu kepada negara lain dalam meneroka model pembangunan masing-masing.
Pengarah Institut Asia Timur Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Alfred Schipke memuji pencapaian China dalam pembangunan sosioekonomi sepanjang pelaksanaan Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 (2021–2025).
Beliau berkata China dijangka terus menumpukan kepada pembangunan berkualiti tinggi sepanjang tempoh pelaksanaan FYP ke-15 (2026–2030), termasuk memajukan pembaharuan struktur pembekalan, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperluas dasar keterbukaan negara.
Sebuah artikel yang disiarkan di laman sesawang akhbar Jerman 'Handelsblatt' pula menyatakan bahawa sidang pleno keempat Jawatankuasa Pusat ke-20 PKC akan menentukan strategi pembangunan China bagi beberapa tahun akan datang.
Menurut laporan itu, China kini memberi tumpuan kepada inovasi teknologi, manakala pelaksanaan FYP ke-15 dijangka membuka lembaran baharu dalam strategi pembangunan negara Tembok Besar itu.
-- BERNAMA-CMG